Jumaat, 22 Mac 2013

Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) kutuk pembunuhan Dr. Said Ramadhan Al-Buti

Berita dipetik daripada laman rasmi Dewan Ulama' Pas Pusat (DUPP)


Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan takziah kepada keluarga tokoh Ulamak terkenal Syria, al-Syeikh al-`Allamah Dr. Sa`id Ramadhan al-Buti atas pembunuhan beliau menerusiร‚  serangan bom semalam yang disasarkan kepada beliau ketika sedang menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Iman, Damsyiq, Syria. Moga allah menempatkan beliau di kalangan Syuhada’.

DUPP mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang terlibat dalam serangan tersebut dan menuntut satu siasatan dibuat untuk mencari dalang disebalik pembunuhan tidak bertamadun tersebut. Pembunuhan tokoh ulamak merupakan satu jenayah besar yang tidak boleh dipandang ringan.

DUPP juga bimbang sekiranya pembunuhan Syeikh dilakukan oleh tangan-tangan ghaib tertentu bertujuan merosakkan imej para pejuang bersenjata yang sedang menentang kezaliman rejim Asad yang telah membunuh dan menyembelih ribuan umat Islam di Syria.

Meskipun Syeikh Dr. Buti antara yang berpendirian bahawa krisis di Syria tidak sewajarnya diselesaikan secara penentangan bersenjata, namun terdapat laporan bahawa beliau dalam majlis-majlis peribadi mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh golongan yang bersama rejim Asad dan mendoakan kehancuran mereka.

Setiusaha Dewan Ulamak PAS Pusat
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

PS: Marilah sama-sama kita menghadiah Al-Fatihah buat As-Syahid Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buti. Semoga beliau diberikan ganjaran Syuhada'. Al-Fatihah..

Tiada ulasan: